MELAKA, 13 Mei (Bernama) -- Malaysia melakar sejarah apabila muncul
juara Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia 2012 buat julung kali selepas
mengalahkan Pakistan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Bukit
Serindit di sini, Ahad.
Malaysia mengakhiri penantian 20 tahun untuk merangkul kejuaraan itu
dengan jaringan minit kedua Faizal Saari dan jaringan padang oleh Mohd
Syamim Mohd Yusof pada minit ke-17.
Pakistan, juara tiga kali pada edisi pertama 1987, 1992 dan 1996,
menjaringkan gol tunggal pada separuh masa kedua menerusi Muhammad Irfan
pada minit ke-42.
Skuad bimbingan Dhamaraj Abdullah itu memadam kekecewaan pada aksi final
edisi 1992 di Ipoh, Perak, apabila tewas 0-3 kepada Pakistan.
Perlawanan sengit dan penuh debaran itu disaksikan oleh lebih 7,000
penonton termasuk Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF), Sultan Perak,
Sultan Azlan Shah, presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil
Yaakob.
Malaysia bermula agresif sebaik wisel perlawanan bermula dan menerusi serangan pertama menghasilkan pukulan sudut penalti.
Selepas menerima hantaran, Faizal melakukan tolakan deras ke penjuru
kiri gol Pakistan yang dikawal oleh Mazhar Abas untuk gol peribadi
keenam sepanjang kejohanan itu.
Hasil itu membolehkan Faizal berkongsi kedudukan sebagai penajring terbanyak bersama pemain Korea Selatan, Seong Ju Lee.
Malaysia memperkukuhkan kedudukan menerusi jaringan Mohd Syamim dan keadaan tidak berubah sehingga waktu rehat masa pertama.
Bagaimanapun, Pakistan tidak berputus asa dengan ketinggalan dua gol dan
bangkit semula pada babak kedua dengan melakukan asakan bertali arus ke
pintu gol Malaysia yang dikawal oleh Mohamad Hazrul Faiz Ahmad.
Malaysia memperkemaskan semula bentang pertahanan selepas jaringan gol
oleh Muhammad Irfan dan mempertahankan kedudukan sehingga wisel penamat.
Dhamaraj berkata anak buahnya beraksi dengan cemerlang pada separuh masa pertama tetapi leka pada babak kedua.
Terdahulu, pada perlawanan penentuan tempat ketiga, juara bertahan India mengalahkan Korea Selatan 2-1 dalam masa tambahan.