Wednesday, August 3, 2016

Malaysia di pentas Olimpik




SELEPAS hanya mendengar mengenai kehebatan atlet luar dan kemeriahan Sukan Olimpik, Malaysia akhirnya merasai sendiri pengalaman ber­aksi dalam temasya sukan terbesar dunia itu dengan membuat penampilan sulung di Melbourne, Australia pada 1956.

Kontinjen negara yang ketika itu dikenali sebagai Malaya menghantar 33 atlet untuk me­nyertai 33 acara daripada lima jenis sukan, jumlah yang boleh dikatakan agak besar buat pendatang baharu.
Seperti diramalkan, tiada pi­ngat berjaya dibawa pulang, namun penyertaan kali pertama mencetuskan semangat luar biasa bukan sahaja kepada ahli sukan tanahair yang lain, malah seluruh rakyat negara ini kerana ia membawa mesej kita boleh berdiri bersama negara lain di dunia.

Satu-satunya sukan yang menyerlah dalam penampilan sulung Malaya adalah hoki apabila pasukan negara beraksi baik di peringkat kelayakan dan hanya tewas sekali.

Begitupun, kurangnya pe­ngalaman Olimpik menyaksikan mereka menamatkan kempen di kedudukan kesembilan daripada 12 pasukan bertanding.

Selain itu, penyertaan Annie Choong di Melbourne memboleh­kan dia menjadi wanita pertama negara beraksi di pentas Olimpik, malah bintang 100 meter itu adalah atlet wanita tunggal berada dalam kontinjen Malaya.

Dia, yang baru berusia 20 tahun ketika itu menamatkan perlumbaan di tangga keempat dalam saringkat kelima dan mencatat masa 12.50 saat.

Selain Malaya, Borneo Utara yang kini dikenali sebagai Sabah juga pernah menyertai temasya tersebut dan membuat penampilan sulung di Melbourne sebelum menjadi sebahagian daripada Malaysia pada tahun 1963.

Pada Sukan Olimpik 1960 di Rom, Itali, Malaya hanya menghantar kontinjen kecil yang terdiri daripada sembilan atlet - tiga atlet olahraga, dua renang, dua menembak dan dua angkat berat.

Sekali lagi kontinjen negara gagal membawa pulang pingat, namun perkembangan itu tidak mematahkan sokongan rakyat kepada atlet yang berusaha mengharumkan nama negara kerana mereka sedar untuk layak beraksi ke temasya tersebut sahaja bukan tugas mudah dan banyak ujian kelayakan perlu dilalui.

Pada Temasya Tokyo 1964, kontinjen negara mula menyertai Sukan Olimpik secara rasminya sebagai Malaysia.

Dalam temasya tersebut yang berlangsung dari 10 hingga 24 Oktober 1964, Malaysia diwakili 66 atlet yang terlibat dalam 10 jenis sukan dan 41 acara, iaitu pe­ningkatan besar berban­ding tahun-tahun sebelum ini.

Peningkatan itu juga bermakna, ia merupakan kontinjen Malaysia terbesar pada Sukan O­limpik.
Sejak penyertaan ketiga di Tok­yo, Malaysia terus kekal menghantar penyertaan yang ramai secara konsisten dan tidak gentar untuk bersaing dengan atlet dari seluruh dunia.

Bagaimanapun tiga temasya pertama masih belum menjelmakan sebarang pingat.


Bola sepak negara menyerlah




KEJAYAAN melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 di Munich adalah pencapaian terhebat buat bola sepak negara yang sehingga hari ini tidak mampu diulangi oleh generasi baharu. 

Meskipun gagal melepasi pe­ringkat Kumpulan A, Malaysia berjaya menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-0.

Gol-gol bersejarah pasukan negara ketika itu dija­ringkan oleh Shaharuddin Abdullah, Salleh Ibrahim dan Wan Zawawi Yusoff.

Bagaimanapun, dua lagi perlawanan Malaysia berkesudahan tewas 0-3 kepada tuan rumah, Jerman Barat dan 0-6 kepada Maghribi.

Biarpun pada akhirnya menutup kempen di tangga ke-10 daripada 16 pasukan, berjaya melayakkan diri dalam sukan No. 1 dunia dianggap pencapaian membanggakan buat skuad bola sepak.
Malah, pasukan negara ketika itu disambut bagaikan wira apabila pulang ke tanah air.

Selain penyertaan bersejarah skuad bola sepak, temasya Munich 1972 dibarisi atlet olahraga, lumba basikal, renang, menembak dan hoki.

Keseluruhannya, kontinjen Malaysia dibarisi oleh 54 atlet yang bertanding dalam 21 acara, meningkat 21 orang berbanding 33 sahaja yang dihantar dalam temasya empat tahun sebelumnya di Mexico.

Pada temasya 1968, jumlah penyertaan menurun ke­rana buat kali pertama kita menghantar kontinjen tanpa atlet dari Si­ngapura selepas negara itu bertindak keluar daripada Malaysia pada tahun 1965.

Selain hoki (18 pemain), olahraga menampilkan penyertaan terbanyak di Mexico iaitu 11 orang.
Penyertaan Malaysia turut dilengkapkan oleh atlet daripada sukan berbasikal dan angkat berat.
Kontinjen negara di Mexico juga hilang sedikit ‘seri’ kerana buat kali pertama tidak menampilkan atlet wanita.

Malah, temasya itu akan dikenang sebagai antara pencapaian terburuk skuad hoki apabila sekadar menamatkan kempen pada kedudukan kedua tercorot daripada 16 pasukan bertanding.

Bagaimanapun, M. Jegathesan (kini Tan Sri Dr.) menceriakan kem Malaysia dengan mengula­ngi pencapaian Olimpik Tokyo 1964 apabila melayakkan diri ke separuh akhir acara 200 meter.
Malah, dia turut mencatat rekod kebangsaan dengan kepantasan 20.92 saat pada pusingan pertama dan catatan tersebut masih tidak mampu dipecahkan sehingga hari ini.

Pada pusingan kedua, Dr. Jegathesan mencatat masa 21.01s dan catatan itu sedikit perlahan dalam separuh akhir - 21.05s.

Jumlah penyertaan Malaysia pada Sukan Olimpik 1976 di Montreal sedikit merosot dengan hanya 23 atlet berjaya melayakkan diri iaitu tiga daripada olahraga, dua menembak, seorang renang dan selebihnya hoki.

Ishtiaq Mubarak berjaya mencuri tumpuan peminat sukan tanah air apabila mara ke separuh akhir 110m lari berpagar lelaki.