Wednesday, December 30, 2009
Tuesday, December 15, 2009
Pesanan kapten skuad 1989
"MAIN dengan penuh kesungguhan dan jangan mudah putus asa. Bila dapat peluang, gunakannya dengan sebaik mungkin."
Demikian pesanan Ahmad Yusoff, kapten skuad bola sepak kebangsaan yang merangkul pingat emas Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur kepada pemain-pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) yang akan menentang Vietnam pada final Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos petang esok.
Menurut Ahmad, 49, bertemu Vietnam bukanlah sesuatu yang mudah tetapi pada masa yang sama tidak mustahil juga pemain skuad B-23 negara mencatat kemenangan, sekali gus menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas.
"Berdasarkan aksi separuh akhir bertemu Laos semalam (kelmarin), saya nampak permainan mereka bagus dan pemain kita nampak bersemangat.
"Saya yakin skuad 2009 ini mampu mengulangi kejayaan skuad 1989 dan berjaya menamatkan kemarau berpanjangan itu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Undian Piala FA 2010 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Mengimbas kembali final Sukan SEA 1989 di Stadium Merdeka itu, Ahmad berkata, semangat mereka ketika itu begitu tinggi memandangkan ia turut disaksikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.
"Semangat kami ketika itu cukup tinggi kerana mahu menebus keke- cewaan tewas 0-1 kepada Indonesia pada final Sukan SEA 1987 di Jakarta.
"Turun dengan hampir semua pemain yang sama pada 1987, kami akhirnya berjaya meraih pingat emas selepas menewaskan Singapura 3-1 pada final 1989 itu," kata Ahmad yang kini merupakan jurula- tih skuad Liga Super Kedah.
Ahmad memberitahu, kesebelasan utama skuad 1989 itu ditunjangi Rashid Hassan (penjaga gol), Razip Ismail, Serbegeth Singh, Kamarulzaman Yusof, Salim Mahmud (pertahanan), Mat Zan Mat Aris, Lim Teong Kim (tengah) manakala serangan diterajui Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan dan A. Anbala- gan.
Dua gol skuad bimbingan jurulatih Trevor Hartley itu dijaringkan oleh Teong Kim manakala satu lagi mene- rusi Dollah.
Sementara itu, seorang lagi pemain skuad 1989, Razip yang ditemui semalam menambah, pemain skuad B-23 negara tidak sepatutnya berada dalam tekanan apabila turun menghadapi Vietnam petang esok.
"Vietnam sepatutnya yang lebih tertekan kerana mereka mahu mengulangi kemenangan 3-1 ke atas Malaysia pada peringkat kumpulan. Lagipun kita tidak mendapat tekanan penonton.
"Tidak seperti pada final 1989, kami beraksi di hadapan penonton sendiri ditambah pula suasana perlawanan dalam keadaan hujan.
"Apa pun, saya yakin inilah skuad terbaik untuk menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas," kata Razip yang kini menjadi jurulatih skuad Liga Super Kuala Lumpur.
Sunday, December 13, 2009
Lelaki emas Asia Tenggara
Sempena penganjuran Sukan SEA ke-25 di Vientiane Laos, Kosmo! 2 menyorot kegemilangan tiga orang atlet dari tiga dekad berbeza.
PELUH mereka sudah banyak mengalir demi nama Malaysia. Di trek basikal, di kolam renang dan di trek olahraga. Tiga lagenda sukan tanah air, Rosman Alwi, Alex Lim Keng Liat dan Nazmizan Muhammad telah berjuang tanpa mengenal erti putus asa.
Dalam diri mereka hanya ada semangat untuk mengharumkan nama Malaysia, selain mencari kemasyhuran karier di pentas antarabangsa.
Sifu trek lumba basikal, Rosman sudah hampir sepuluh tahun bersara. Sementara raja kolam renang, Alex sudah tiga tahun bergelar jurulatih renang.
Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan pula lebih banyak menghabiskan masanya sebagai pegawai tadbir di Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Menariknya, Rosman, Alex dan Nazmizan ialah tiga generasi atlet negara dari tiga era berbeza. Mereka pernah mencipta nama di temasya sukan terbesar rantau Asia Tenggara, Sukan SEA pada tahun 1980-an, 1990-an dan 2000.
Di pentas itulah mereka membuktikan keupayaan sebagai jaguh. Di pentas yang sama jugalah Rosman, Alex dan Nazmizan melalui detik-detik kegemilangan.
Apa yang pasti, ketiga-tiga legenda itu menganggap Sukan SEA sebagai tapak terbaik untuk mencipta nama di arena antarabangsa.
Secara tradisinya, Sukan SEA ialah platform sulung buat mana-mana atlet di Asia Tenggara untuk mencipta nama, sebelum melebarkan sayap ke temasya Sukan Asia, Sukan Komanwel dan seterusnya Sukan Olimpik.
Selain Rosman, Alex dan Nazmizan, Sukan SEA juga menjadi saksi kepada lahirnya ramai legenda sukan terbilang tanah air.
Siapa tidak kenal dengan ratu kolam renang, Nurul Huda Abdullah? Dia pernah menyumbang 22 pingat emas buat Malaysia dari kolam renang sekitar tahun 1985 hingga 1989.
Begitu juga dengan ketepatan Sam Chong di meja snuker pada Sukan SEA 1993 hingga 1999, apabila dia berjaya merangkul lapan pingat emas dalam kategori individu.
M. Ramachandran turut diingati sebagai legenda Sukan SEA. Bekas jaguh olahraga dalam acara 5,000 dan 10,000 meter itu pernah meraih lapan pingat emas dari tahun 1993 hingga 1999.
Rosman digelar 'Mbak Sepeda'
Dalam kalangan pencabarnya, Rosman ialah satu nama yang cukup digeruni. Malah, pasukan lumba basikal Indonesia pernah memberi gelaran 'Mbak Sepeda' atau sifu basikal kepada anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Satu jolokan yang amat sesuai untuk dirinya setelah terlibat 30 tahun sukan berbasikal. Ia merupakan satu tempoh yang cukup lama dan masih belum ada mana-mana pelumba yang dapat memecahkan rekod tersebut.
Di Malaysia, rata-rata penulis sukan menggelar Rosman sebagai 'kuda tua' hanya kerana penampilannya di trek lumba basikal pada usia mencecah 40 tahun.
Sepanjang bergelar atlet, Rosman yang kini berusia 48 tahun telah merasai suasana beraksi di pentas Sukan SEA dalam empat era iaitu 1970-an, 1980-an, 1990-an dan 2000.
Namun, di sebalik kegemilangan itu, Rosman terpaksa melalui detik-detik sukar sebelum sampai ke puncak kejayaan hasil dorongan ayahnya, Alwi Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Alwi.
"Ramai orang kata bakat dan latihan adalah tunjang kepada kejayaan. Namun bagi saya, akal dan hati adalah segalanya. Di sinilah (hati) tersimpan kemahuan sama ada memilih kejayaan atau kegagalan," ujar Rosman ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Lantas, Rosman mengakui dua elemen itu (akal dan hati) jarang ada dalam diri atlet zaman sekarang.
"Kami (atlet terdahulu) bertanding atas nama Malaysia. Peluh serta air mata kami mengalir demi maruah Malaysia. Kalah kami sebagai atlet Malaysia dan menang kami juga sebagai atlet Malaysia.
"Tetapi sekarang, atlet seakan-akan lena dibuai kemewahan. Hanya berbekalkan kejayaan kecil, habuan lumayan sudah menanti. Akibatnya, semangat yang ada dalam diri atlet seolah-olah semakin cair," jelasnya.
Di sebalik kejayaan besar yang dikecapinya, perasaan sedih tetap bersarang di hati tatkala memikirkan tentang 'budaya tikam belakang' yang ada dalam sukan tanah air.
"Saya pernah gagal untuk bertanding di Sukan SEA hanya kerana disahkan mengalami penyakit misteri. Puncanya, kerana sikap dengki yang ada dalam diri manusia yang tidak mahu saya berjaya," ceritanya.
Alex tidak takut lemas
Sementara itu, di kolam renang nama Alex begitu disegani. Setiap renangannya pasti menjanjikan kilauan pingat buat negara terutama dalam Sukan SEA.
Sejak mengabadikan diri di kolam renang seawal usia tujuh tahun, dia tidak pernah takut lemas. Sebaliknya terus menjadikan kolam renang sebagai lubuk rezekinya.
"Setiap kali turun ke kolam renang, perasaan luar biasa akan timbul dalam diri saya. Walaupun terpaksa berlatih sepanjang hari, saya tidak pernah takut untuk berdepan apa jua risiko.
"Hampir 20 tahun saya abadikan diri di kolam renang. Sepanjang itu juga saya berbangga kerana hasilnya telah meletakkan nama saya di puncak dunia," jelas anak kelahiran Sabah berusia 27 tahun itu.
Persoalannya, bagaimana dengan masa depan sukan renang Malaysia pada masa akan datang? Alex secara terbuka menyuarakan kebimbangannya ketika negara Asia lain terus menggoncang dunia.
"Malaysia memang memiliki ramai perenang berbakat dan mereka ialah jaguh di peringkat Sukan SEA. Tetapi, perlukah kita berbangga hanya dengan kejayaan ini? Masih adakah lagi perenang kita yang mampu meraih pingat emas di pentas Sukan SEA?" soalnya.
Bagi Alex, bukan bakat dan saiz badan yang membezakan perenang dahulu dengan sekarang, tetapi pengalaman dan pendedahan yang menjadi batasan.
"Perlu latihan di luar negara dan pendedahan bersaing dengan perenang antarabangsa. Masalahnya, atlet kita terlalu manja dan lebih gembira berlatih di Malaysia. Sedangkan pengorbanan perlu dilakukan untuk mencapai sesuatu.
"Saya sendiri pernah berlatih di Amerika Syarikat selama sepuluh tahun. Dalam tempoh itu, saya telah belajar untuk menjadi atlet yang tahu mencari kelebihan diri sendiri," katanya lagi.
Anak Dungun gegar Vietnam
Lagu Negaraku berkumandang dengan cukup megah di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Sukan SEA 2003. Alunan itu menjadi saksi kejayaan Nazmizan dalam acara 100 meter.
Pencapaian itu sekali gus menobatkan anak kelahiran Kampung Durian Mentangau, Dungun Terengganu, Nazmizan sebagai Raja Pecut Asia Tenggara.
Malah, Nazmizan melengkapkan tahun penuh gemilangnya di Hanoi dengan kemenangan berganda dalam acara 200 meter, sekali gus menjadikannya atlet Malaysia pertama meraih emas acara 100 dan 200 meter di Sukan SEA selepas 36 tahun.
Bagaimanapun, Nazmizan menganggap kejayaan itu sebagai 'keajaiban' yang mungkin tidak mampu diulanginya.
"Saya sebenarnya tidak layak untuk beraksi pada Sukan SEA 2003 kerana gagal melepasi had kelayakan. Namun, selepas perbincangan dan rayuan dibuat, saya telah diberi peluang, itu pun atas tiket sebagai atlet Kategori B.
"Tiada siapa mengenali saya ketika itu. Walaupun dalam hati kecil saya tetap terdetik untuk mencipta sejarah di bumi Vietnam. Ketika acara 100 meter berlangsung, saya tidak memikirkan apa-apa selain ingin menamatkan perlumbaan," jelasnya.
Nazmizan hanya mengambil masa 10.47 saat untuk meletakkan namanya dalam lipatan sejarah. Sekali gus mengulangi pencapaian yang pernah dilakukan G. Rajalingam di Bangkok pada tahun 1967.
Paling penting, kejayaan pada Sukan SEA itu telah mengubah kehidupan Nazmizan daripada anak kampung kepada bintang sukan tersohor tanah air.
Malah, pencapaian itu membolehkan Nazmizan berlatih di bawah kendalian bekas juara pecut Olimpik, Michael Johnson di Amerika Syarikat. Selain layak beraksi pada Sukan Olimpik di Athens pada tahun 2004.
Hati sayu dengar lagu Negaraku
Baik Rosman, Alex mahupun Nazmizan, tiga legenda itu telah merasai jatuh bangun sebagai atlet sukan. Sekalipun dijulang ketika menang dan dicaci ketika tumbang, naluri lelaki mereka tetap sayu ketika mendengarkan lagu Negaraku berkumandang.
"Telah terbukti bahawa atlet Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan atlet lain," ujar Nazmizan.
Kini, Rosman, Alex dan Nazmizan hanya mampu memerhatikan dari jauh perjuangan atlet-atlet muda Malaysia yang kini berjuang di bumi Laos sempena temasya Sukan SEA 2009.
"Sukan SEA masih relevan dan di sinilah segala-galanya bermula," kata Rosman.