JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2008 semalam.
Chong Wei dan Nicol masing- masing menerima wang tunai RM10,000, piala serta sijil pada majlis yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.
Lebih menarik ia adalah anuge- rah Olahragawan kedua buat Chong Wei yang meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing, Ogos tahun lalu.
Chong Wei yang pernah meme- nangi Olahragawan 2005 mengulangi kejayaan mentornya, Datuk Misbun Sidek selaku Olahragawan Negara 1981 dan 1983.
Sukan badminton sekali lagi mendominasi anugerah sukan berprestij negara itu selepas anugerah Olahragawan 2007 menjadi milik pemain beregu, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong.
Selain pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing, Chong Wei turut muncul juara Kejohanan Super Series Terbuka Malaysia, Januari tahun lalu.
Dia juga muncul juara dan naib juara dalam empat kejohanan lain termasuk Terbuka Macau, Terbuka China dan juara pada Final Masters di Kota Kinabalu.
Manakala Nicol pula, kecemerlangannya di pentas antarabangsa memang menakjubkan yang menyaksikannya mencatatkan 10 kemenangan untuk kekal sebagai pemain wanita No. 1 dunia.
|
|
Lebih menarik, ia adalah anugerah Olahragawati keenam buat Nicol selepas memenanginya pada tahun 1999, 2003, 2005, 2006 dan 2007.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu juga mengatasi pencapaian bekas perenang negara, Nurul Huda Abdullah dan pemain boling negara, Shalin Zulkifli yang memenanginya sebanyak lima kali.
Nicol yang ditemui selepas majlis tersebut menjelaskan bahawa anugerah yang diraihnya itu akan menjadi pendorong kepadanya untuk terus bekerja keras bagi mencapai lebih banyak kejayaan sepanjang tahun ini.
"Ia akan menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus berusaha mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada MSN, Persa- tuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM) serta ibu bapa saya yang banyak memberi dorongan terhadap kejayaan saya," kata Nicol.
Chong Wei yang kini berada di India tidak hadir pada majlis itu dan dia diwakili oleh bapanya, Lee Ah Chai.
Sementara itu, pemanah negara, Cheng Chu Sian, Muhammad Marbawi Sulaiman, Wan Mohd. Khamizam Wan Abdul Aziz pula dipilih sebagai penerima anugerah bagi kategori Pasukan Lelaki Terbaik kebangsaan.
Manakala anugerah kategori Pasukan Wanita Terbaik dimena- ngi oleh pasukan skuasy terdiri daripada Nicol, Sharon Wee Ee Lin, Delia Odette Arnold dan Low Wee Wern.
Bagi Olahragawan Paralimpik, Zul Amirul Sidi Abdullah dipilih pemenang sementara Siow Lee Chan menerima anugerah Olahragawati Paralimpik.
Bekas pemain badminton negara, Datuk Misbun Sidek pula menerima anugerah bagi kategori Jurulatih Lelaki Terbaik.
Bekas pemain hoki negara, mendiang Datuk Ho Koh Chye pula dipilih sebagai penerima anugerah untuk Kepimpinan Sukan.
Turut hadir pada majlis gilang-gemilang itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Memori... M. Rajamani... Olahragawati Kebangsaan 1966
No comments:
Post a Comment