Monday, March 16, 2009

Wang bukan alasan kejayaan semata-mata


AKTIVITI berbasikal di negara kita bermula sejak 1938 ketika tentera bersekutu berpengkalan di negara ini.

Mendiang Gurchan Singh Gill dan Kapten C.O. Jennings, pegawai tentera New Zealand, merupakan penggerak utama dalam penubuhan Persekutuan Lumba Basikal Malaya (PLBM) pada Mac 1953. Ia dianggotai oleh empat buah negeri, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Melaka.

Pada Mac 1966, ketika saya bekerja di Kedah, saya telah menubuhkan Persatuan Lumba Basikal Kedah dan seterusnya menjadi setiausahanya sehingga 1968.

Beberapa orang jaguh basikal telah lahir di Kedah, antaranya AS Fazil, AB Rahim, Zainon Osman, Jamil Ishak dan Omar Saad dan mereka pernah mewakili negara ke Sukan SEA, Sukan Asia dan Olimpik.

Pada 1968 saya bertukar ke Melaka dan terus menerajui Persatuan Lumba Basikal Melaka yang ketika itu dalam keadaan 'nazak'.

Saya dilantik sebagai setiausaha dan telah memulihkan aktiviti lumba basikal di Melaka hingga awal tahun 1971 sebelum bertukar kerja ke Selangor.

Semasa bertugas di Melaka, saya juga telah membantu Johor menubuhkan Persatuan Lumba Basikal Johor yang pada ketika itu mempunyai ramai pelumba muda tetapi tiada persatuan.

Pada zaman itulah muncul ramai pelumba-pelumba handalan seperti Daud Ibrahim, Kamarden Ali, Fazil Ibrahim, Sulaiman Anang dan Jasmi Baba.

Daud pernah memenangi pingat emas Sukan Asia 1970 dan empat pingat emas Sukan SEA 1971. Beliau telah dianugerahkan oleh Majlis Olimpik Malaysia sebagai Olahragawan Negara 1971.

Pada Mac 1969, saya telah mengumpul beberapa orang pelumba dan pegawai dari Negeri Sembilan dan seterusnya menubuh Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan yang diterajui oleh mendiang MT Lingam, ketua biro akhbar The Star di Seremban.

Pada akhir 1969, saya juga membantu menubuh Persatuan Lumba Basikal Pahang yang dipimpin oleh Datuk Lim Ah Lek (kini bergelar Tan Sri) manakala setiausahanya ialah Nazri Hussein.

Saya juga terlibat dalam penubuhan pasukan basikal Pahang dan pasukan basikal Polis Diraja Malaysia pada awal 70-an.

Pasukan Polis melahirkan jaguh-jaguh seperti Fazin Saad, Omar Saad, Johari Ramli, Azizan Ramli, Ramli Hashim manakala Tentera memperkenalkan Ismail Ghani, Alias Kamal, Saari Mat Rawi dan Adnan Kaspan.

Berikutan itu, Perlis, Terengganu dan Kelantan juga ditubuhkan bersama-sama Persatuan Lumba Basikal Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Negeri Sabah, Sarawak dan Labuan juga tidak ketinggalan untuk menubuhkan persatuan masing-masing. Dalam pada itu Persatuan Basikal Dalam Gelanggang Malaysia juga menjadi ahli gabungan peringkat pusat.

Persoalannya pada masa sekarang, daripada banyak-banyak persatuan tersebut, berapa buah persatuan sahaja yang betul-betul berfungsi sebagai persatuan sukan?

Apakah pada zaman dulu, persatuan lumba basikal negara mempunyai banyak wang dan mendapat peruntukan daripada kerajaan atau Majlis Olimpik Malaysia?

Ketika saya menjadi Setiausaha PLB Malaysia (1970-1983), beberapa perlumbaan besar diadakan dan beberapa perlumbaan dihidupkan semula. Antaranya Jelajah Malaysia (1971) yang 'terkubur' sejak 1964.

Perlumbaan ini diadakan setiap dua tahun sekali hingga 1982.

Jelajah Utara diperkenalkan pada 1972 dari Kuala Lumpur ke Alor Setar sebanyak empat peringkat. Ia bertahan sehingga 1981.

Jelajah Pantai Timur diperkenalkan pada Jun 1973, dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru. Acara ini diadakan sebanyak tiga kali dan selepas itu tiada usaha-usaha dibuat untuk menganjurkannya.

Selain dari itu, saya juga membantu menganjur perlumbaan Jelajah Selangor, Jelajah Pahang, Jelajah Melaka, Jelajah Negeri Sembilan, Jelajah Terengganu dan Jelajah Johor.

Pada zaman sebelum negara mempunyai velodrom, saya banyak menganjur perlumbaan trek di gelanggang rumput mahupun bitumen.

Pertandingan trek di adakan di Stadium Kota Raja di Klang, Stadium Merdeka, Stadium Muar, Stadium Larkin, Stadium Kuala Terengganu dan Stadium Kuantan.

Wang selalunya dikaitkan dengan satu-satu kejayaan. Saya tidak menafikannya, terutama di zaman ini di mana setiap pergerakkan perlu ada wang. Tetapi adakah wang semata-mata yang menjadi penentuan bagi setiap kejayaan?

Pada Januari 1970, ketika saya memegang jawatan Setiausaha PLBM, dengan baki di bank sebanyak RM44.60 namun kami berjaya membawa balik Piala Presiden Suharto dari perlumbaan Jelajah Jawa, melalui kemenangan Ng Joo Ngan.

Bukan sahaja Jelajah Jawa, malah pada Sukan Asia di Bangkok 1970, Daud dan Joo Ngan membawa pula satu pingat emas setiap seorang.

Apakah hanya dengan wang sahaja kita boleh berjaya? Dengan komitmen dan kesungguhan yang baru saya percaya sukan lumba basikal boleh maju dan menjadi sukan yang popular di negara kita.

Shaharudin Jaffar merupakan pelumba kebangsaan era 1960-an dan pelumba negara pertama yang memenangi pingat emas pada Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) di Stadium Merdeka pada tahun 1965.

No comments: