Wednesday, February 4, 2015

Datuk Norhayad, Wanita Pertama Terajui Persatuan Bola Sepak


KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Datuk Norhayad Ahmad melakar sejarah sukan negara apabila muncul sebagai wanita pertama menerajui persatuan bola sepak di negara ini.

Sekalipun pelantikannya itu tertakluk di bawah perlembagaan persatuan bola sepak daerah, iaitu seseorang yang dilantik sebagai Pegawai Daerah secara automatik turut menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah, namun ia tetap dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada wanita bagi memimpin persatuan sukan nombor satu negara.

"Saya memang minat sukan bola sepak...dan saya sangat bertuah kerana mempunyai anggota jawatankuasa yang terbaik bagi mengendalikan perkara berhubung kait skuad Kuantan FA," katanya kepada Bernama.

Norhayad, 55, anak kelahiran Negeri Jelapang Padi itu mula menerajui Kuantan FA pada awal Oktober 2011, selepas dilantik sebagai Pegawai Daerah Kuantan.

Sepanjang penglibatan beliau dengan Kuantan FA, pasukan itu layak menyertai saingan Liga FAM Malaysia pada 2013, iaitu liga bola sepak divisyen ketiga.

Pasukan Kuantan FA dinobatkan johan Piala Liga FAM musim lepas, sekali gus melayakkan mereka untuk bersaing dalam Liga Perdana musim 2015.

Pada musim kali ini, Norhayad berkata Kuantan FA yang diperkuatkan dengan kehadiran empat pemain import dan menyasarkan untuk menduduki kelompok lima pasukan teratas daripada 12 pasukan dalam liga itu nanti.

"Walaupun kita tidak ada nama-nama besar dalam pasukan, tapi saya yakin Kuantan FA mampu berada dalam kelompok lima teratas Liga Perdana," katanya.

Pada musim 2015, Kuantan FA menyenaraikan bekas penyerang Montenegro, yang pernah beraksi bersama pasukan Perak, Milan Purovic, bekas pemain Pulau Pinang Lee Kwang-Hyun dari Korea Selatan, bekas pemain Pahang Tariq El Janaby dari Morocco dan seorang lagi pemain import dari Korea Selatan yang juga muka baharu, Im Kyung Hyun.

Skuad Kuantan FA yang turut dikenali sebagai 'The Seagull' dilatih jurulatih berpengalaman dalam melatih skuad pelapis kebangsaan Aminuddin Hussin dan diperkuatkan dengan bekas penjaga gol simpanan skuad Pahang, Mohd Rosfaizul Azuar Ali.

"Mereka (para pemain dan pegawai) menerima kehadiran saya dengan baik. Saya cuba sebaik mungkin untuk meluangkan masa meninjau sesi latihan pemain.

"Jika berkesempatan, saya akan turun menyaksikan perlawanan yang disertai pasukan Kuantan FA sebagai memberi sokongan moral kepada pasukan," katanya yang mengakui tugasan utama selaku Pegawai Daerah turut membatasi masa untuk diluangkan bersama pasukan seliaannya itu.

Sementara itu, pengurus pasukan Kuantan FA, Datuk Wan Solihi Wan Hasan berkata kepimpinan Norhayad membuatkan para pemain serta pegawai Kuantan FA berasa selesa dengan kehadiran wanita sebagai peneraju dalam persatuan itu.

"Cara beliau mendekati pemain ketika sesi latihan dengan memberikan kata-kata semangat macam seorang ibu berpesan dan beri nasihat kepada anak-anak sangat menyenangkan," katanya.

Kuantan FA, antara tujuh pasukan kelab yang beraksi bersama lima lagi pasukan negeri dalam saingan Liga Perdana 2015.

Mereka akan bertandang ke Stadium Bandaraya Pulau Pinang untuk berdepan skuad 'Panthers' pada perlawanan pembukaan Liga Perdana, Jumaat ini.

Oleh Zuriati Zulmi -- BERNAMA

No comments: