Monday, June 15, 2009

M. Jegathesan


M. Jegathesan telah dilahirkan di Bandar Diraja Kuala
Kangsar, Perak pada 2 November 1943. Walau
bagaimanapun beliau dibesarkan di Kuarters 100 yang
terletak di Brickfields Kuala Lumpur. Selepas meninggalkan
Sekolah Rendah Jalan Batu, dia meneruskan pendidikan
di Victoria Institution (VI) pada 1955 dan Anglo Chinese
School, Singapura antara 1956 hingga 1961.

Olahragawan Negara 1966 itu juga cemerlang dalam
akademik kerana berjaya memperolehi ijazah pertama
perubatan dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS)
pada 1967 dan bergelar doktor perubatan. Beliau turut
menerima anugerah pingat emas Kesatuan Pelajar NUS
kerana menjadi pelajar terbaik keseluruhan universiti itu
pada tahun yang sama.

Dua tahun kemudian, beliau melanjutkan pengajian di
Mahidol University, Bangkok dan Universiti London pada
1970 hingga 1971. Beliau telah berkahwin dengan Lee
Hong pada tahun 1969, seorang graduan Fakulti Farmasi
yang juga menuntut di Universiti Singapura. Beliau
mempunyai dua orang anak perempuan,Ashelee, 34 dan
Shirene, 31 dan seorang anak lelaki, Manika (Niki), 26
serta mempunyai sepasang cucu.

Memegang status pelari terpantas Asia selama lapan
tahun atau 96 bulan pada era 1960-an ini mula mengorak
langkah dalam arena olahraga ketika dia dibesarkan
di Kuala Lumpur. Kedudukannya pada ketika itu sukar
digugat oleh mana-mana pelari benua Asia.

M. Jegathesan, adalah pelari pertama Malaysia yang
melayakkan diri keperingkat separuh akhir Sukan Olimpik
di Rome pada 1960 dalam acara pecut 100m. Beliau
pernah melayakkan diri ke pentas Olimpik sebanyak tiga
kali berturut-turut pada 1960, 1964, 1968 dan menjadi
atlit Malaysia pertama ke separuh akhir 200m pada 1964
dan mengulanginya empat tahun kemudian.

Ayahnya, N. M. Vasagam yang berhijrah ke negara ini
ketika usia remajanya adalah bekas pelari kebangsaan
yang berasal dari Ceylon atau sekarang dikenali sebagai
Sri Lanka. Mendiang ayahnya adalah bekas pengasas dan
setiausaha Persekutuan Persatuan Atlit Amatur Malaya
yang kemudian ditukar nama menjadi Kesatuan Olahraga
Amatur Malaysia (MAAU). Dia juga pengasas Persekutuan
Majlis Olimpik Malaya yang kini dikenali sebagai Majlis
Olimpik Malaysia (OCM).

Jegathesan terbabit dalam banyak bidang termasuk
profesional seperti olahraga, akademik, pentadbir sukan,
penyelidik, pendidik, penasihat perubatan, ketua
pegawai eksekutif dan sebagainya. Ramai kenalan beliau
menyifatkan Jegathesan mampu mencapai apa yang
diinginkan kerana beliau membuktikannya sejak menjadi
atlit ketika usia mudanya.

Pengalaman bekerja beliau ialah berkhidmat di
Kementerian Kesihatan dari 1967 hingga 1998 dan
di situlah beliau menimba pengalaman bermanfaat dalam
perubatan. Beliau memegang beberapa jawatan
di kementerian itu selama 31 tahun bertugas dan
jawatan terakhir ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan
(TKPK) antara 1994 hingga 1998. Beliau pernah menjadi
Ketua Perkhidmatan Makmal Hospital Kuala Lumpur 1985
hingga 1988, Ketua Bahagian Mikrobiologi dan Pengarah
IMR dari 1988 hingga 1994.

Namun dalam tempoh singkat itu Jegathesan memberi
sumbangan yang tidak ternilai kepada negara. Walaupun
sibuk dengan tugasnya kini selaku Ketua Pengawai
Operasi Sistem Hospital Awasan Taraf dan Adjunct
Profesor dalam Perubatan Mikrobiologi di Universiti Putra
Malaysia (UPM), dia masih mencurah sumbangan kepada
sukan sebagai pentadbir. Pada masa ini beliau adalah
Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia

1 comment:

mirul said...

Salam bro...nak tanye macam mane nak dapat maklumat tentang jegathesan ni ye?