KUALA LUMPUR - Tidak sangka. Perkataan pertama yang terkeluar dari mulut Datuk Abdul Ghani Minhat selepas ditanya mengenai perasaannya menerima anugerah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, kelmarin.
Abdul Ghani yang digelar Raja Bola tidak menyangka sama sekali dalam keadaan tidak diduga ini beliau sekali lagi menerima anugerah dari Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua selepas menerimanya sebelum ini pada 1970.
"Ini kali kedua saya menerima anugerah seperti ini. Sebelum ini saya menerima anugerah pada ulang tahun Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada tahun 1970," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Jelasnya, pada 1970 anugerah yang diterimanya ialah Ahli Mangku Negara (AMN) dan sebelum itu pada 1962 beliau menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
"Apa sahaja pemberian (anugerah) yang diterima saya akan menerimanya kalau tidak dapat pun saya tidak akan merungut.
"Ia boleh dikatakan rezeki buat saya selepas menghambakan diri dalam sukan bola sepak terutama untuk pasukan kebangsaan," katanya.
Katanya, anugerah ini tidak boleh diminta-minta, sebaliknya untuk mengenang jasa bagi mereka yang telah berbakti buat negara tidak kira dalam apa jua bidang sekali pun.
"Sekurang-kurangnya masih ada lagi yang mengenang jasa saya dan saya tidak akan berasa kecewa jika tidak menerimanya," katanya yang juga pernah mendapat anugerah sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada tahun 2000.
Ditanya mengenai sesetengah atlet yang menerima anugerah gelaran Datuk pada usia yang muda Abdul Ghani berkata, mungkin sukar bagi mereka untuk menyesuaikan diri dengan gelaran tersebut.
"Macam saya lain, sudah matang dan faham apa maknanya anugerah ini, pada pendapat saya atlet muda perlu menabur jasa sebanyak mungkin selepas itu baru difikirkan masa yang sesuai untuk diberikan gelaran.
"Tetapi ini hak orang, saya tidak boleh buat apa, bagaimanapun saya bersyukur masih ada lagi yang mengenang jasa saya, kita tidak boleh menuntut segala kerja yang dilakukan hanya semata-mata mahukan gelaran," katanya.
Pada zaman kegemilangannya Abdul Ghani membantu Selangor menjuarai Piala Malaya/Malaysia pada 1956, 1959, 1961, 1962, 1963, 1966, 1968 dan 1969.
Kejayaannya di peringkat antarabangsa pula tercipta apabila membantu Malaya (ketika itu) menjuarai Pestabola Merdeka tiga tahun berturut-turut dari 1958 hingga 1960.
UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment