|
|
KUALA LUMPUR - Semalam merupakan hari gemilang buat sukan tanah air, apabila jaguh skuasy, Datuk Nicol David memahat rekod muncul juara dunia buat kali keenam di Rotterdam, hanya beberapa jam selepas Zulfadli Zulkifli dan Nelson Heg-Teo Ee Yi merangkul kejuaraan berganda perseorangan lelaki dan beregu lelaki Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Taiwan.
Pemain No. 1 dunia, Nicol membuktikan mengapa dia layak diiktiraf dalam Dewan Kemasyuran (Hall of Fame) Persatuan Skuasy Dunia (WSF) apabila mudah membenam pemain No. 2 dunia, Jenny Duncalf dari England 11-2, 11-5, 11-0 untuk ditabal sebagai juara.
Nicol, 28, mengesahkan statusnya selaku pemain terbaik sepanjang zaman dalam sejarah skuasy wanita dunia apabila melakar rekod baru dengan memintas rekod lama milik mentornya, Sarah Fitz Gerald dari Australia yang muncul juara lima kali.
Malah semalam, Nicol hanya memerlukan 29 minit untuk menumpaskan Duncalf, biarpun jaguh England itu antara pemain terbaik dunia.
"Fikiran saya kosong sekarang, saya tidak memikirkan apa-apa...saya hilang kata-kata.
"Memenangi gelaran dunia ialah sesuatu yang besar dan penuh bermakna untuk dirisaya. Saya gembira untuk menujukan kejayaan ini kepada seluruh rakyat Malaysia,"kata Nicol yang beraksi di depan kedua-dua ibu-bapanya, Desmond David dan Ann Marie.
Tewas tiga kali tahun ini, dua kepada Laura Massaro dan sekali di tangan Kasey Brown, Nicol dilihat mungkin sudah mula menunjukkan tanda kemerosotan, namun persembahan garang yang dipamerkannya semalam langsung tidak menunjukkan dirinya berada penghujung karier.
Tidak dapat dipastikan apakah faktor yang mempengaruhi Jenny sehingga tewas sebegitu mudah, namun jika statistik lampau diambil kira, Jenny mungkin dibelenggu dengan fakta bahawa dia cuma menang dua kali dalam 28 pertemuan antara kedua-dua mereka.
Nicol turut memberi sokongan agar skuasy dapat menjadi acara Sukan Olimpik, menerusi komen ringkas: "Saya sanggup menggadaikan enam gelaran dunia yang dimiliki untuk satu pingat emas Olimpik."
Terdahulu, anak muda berusia 18 tahun, Zulfadli melakar sejarah dengan menghadiahkan gelaran sulung Malaysia dalam perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia selepas menumpaskan Viktor Axelsen dari Denmark 21-18, 9-21, 21-19.
Nelson-Ee Yi memberi kejuaraan berganda dengan menewaskan pasangan tuan rumah Po Jui Huang dan Chia Yu Lin 21-17, 21-17.
Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment